Monday 14 November 2011

Kebebasan Mutlak Media Baru Akan Membawa Bencana Kepada Keharmonian Sosial

            Saya amat tertarik dengan tajuk kebebasan mutlak media baru akan membawa bencana kepada keharmonian sosial.  Pada hemat saya, tidak seharusnya kebebasan itu diberi secara mutlak tanpa sebarang sekatan kerana lumrah kita sebagai manusia harus hidup berlandaskan syariat ataupun panduan hidup yang ditetapkan dalam norma kehidupan bermasyarakat.  Sebagai warganegara Malaysia yang tercinta, haruslah kita sedia maklum bahawa kita hidup dan tinggal di bumi yang didiami oleh masyarakat berbilang bangsa sejak zaman dahulu kala.  Masyarakat tersebut terdiri daripada kaum majoriti Melayu, Cina dan India.  Selain itu wujud juga kaum Kadazan, Bajau, Bidayuh dan Bumiputera lain yang turut menyumbang kepada kemajuan negara. 
            Walaubagaimanapun, kehadiran media sebagai medium penyebaran maklumat memberi impak besar kepada aspek kemajuan negara terutama dalam bidang teknologi maklumat.  Dahulunya, maklumat tersebar secara konvensional seperti penggunaan radio, television dan surat khabar tetapi terdapat sekatan beberapa akta bagi menjamin keharmonian sosial dan mengelakkan pencerobohan hak asasi manusia.  Segala maklumat adalah ditapis sebaik-baiknya sebelum ia sampai kepada umum dan pastinya maklumat tersebut dilindungi daripada kata-kata penghinaan, fitnah, cacian ataupun kata-kata kesat yang kadang-kala menyentuh sensitiviti sesetengah pihak.  Malah akibat tapisan dan sekatan yang dikenakan, hanya kebaikan ataupun aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan sahaja dapat ditonjolkan di ruangan berita menunjukkan keprihatinan sesetengah pihak tanpa dimanipulasi oleh pihak lain.
               
            Kemunculan media baru yang juga dikenali sebagai media siber kini telah memudahkan lagi kerja-kerja penyebaran maklumat.  Lebih banyak kebaikannya berbanding dengan media tradisional kerana perkembangan teknologi yang pesat.  Negara ini juga tidak ketinggalan dalam arus kemodenan ini.  Semakin ramai jumlah pembaca dapat dicapai berbanding dahulu, teknologi maklumat ini juga memudahkan manusia di segenap dunia untuk saling berhubung.  Ianya seolah-olah pembaca dari luar negara berada dalam jarak yang dekat walhal pengguna IT tersebut sebenarnya berada beribu batu jauh dari negara ini.  Walaupun kita berada jauh dari negara, tetapi amat mudah untuk mendapatkan berita di negara ini dalam hanya beberapa saat untuk klik dan berita tersebt segera terpampang di skrin komputer.  Dengan kemajuan teknologi ini dapat menarik perhatian lebih ramai orang kerana paparan yang lebih menarik, lebih ‘up to date’, dengan video dan gambar-gambar yang tersiar lebih banyak dan lengkap.  Masa untuk pembaca juga tidak terhad dan mereka boleh mengakses dengan mudah dan pada bila-bila masa sahaja.
            Walaupun begitu, kecanggihan teknologi ini juga membawa perkara negatif kepada persekitaran kerana ia kini menjadi medan peperangan secara maya oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.  Mungkin mereke itu merupakan golongan yang ingin melontarkan kemarahan atau dendam dan wujud ketidakpuasan hati terhadap pihak lain lalu mengambil peluang ini untuk ekpreskan kemarahan tersebut dalam bentuk tulisan.  Tujuannya boleh membawa kepada hasutan dan mengfitnah dan jika ia tidak dibendung, mungkin akan lebih mudarat jika ramai pembaca yang terpedaya dan terpengaruh tanpa berfikir panjang.  Tambahan pula, dengan gambar-gambar yang tersiar semuanya tidak ditapis dan boleh juga memberi pengertian yang salah kepada orang lain.  Kesannya, keharmonian akan tercalar jika fitnah yang tersebar mempengaruhi pembaca dan boleh mewujudkan bahaya kepada orang ramai terutamanya jika berlaku rusuhan.  
                                            
            Sesetengah pihak sengaja membuat kacau dengan aktiviti tidak bermoral dengan mengeluarkan kata-kata kesat, memaparkan kata-kata cacian terhadap sesuatu kaum tanpa alasan kukuh.  Tidak ada sebarang hak istimewa diberikan terhadap sesiapa untuk mengeluarkan artikel seperti itu kerana amat memalukan dengan perumpamaan kaum seperti binatang menimbulkan kemarahan sebangsa yang lain.  Perbuatan ini mengundang ancaman terhadap keselamatan orang ramai kerana satu-satu bangsa diwakili oleh orang ramai di luar sana dan siapakah yang tidak sayangkan nama baik bangsa sendiri? 
Anda boleh lihat sendiri betapa banyaknya artikel yang memaparkan kata-kata kesat terhadap kaum lain seperti:

 Melayu 'babi' - 6,360,000 artikel
 Cina 'sial'       -    896,000 artikel
 India 'celaka'  -    628,000 artikel

Tuesday 1 November 2011

KESAN KEBIADABAN DUNIA SIBER

Zaman kini semakin berubah.  Semakin maju teknologi semakin meningkat taraf hidup dan tahap pemikiran manusia.  Ia merupakan perlambangan kepada perkembangan hidup manusia zaman sekarang berbanding dahulu.  Zaman moden yang memiliki kemajuan teknologi serba canggih kini dikenali sebagai zaman yang lebih bertamadun dengan adanya ilmu dan pengetahuan yang luas yang berjaya diterokai oleh manusia.  Walaubagaimanapun, tahap ketamadunan manusia masa kini seperti masih disangkal kerana dalam dunia yang serba-serbi canggih ini timbul pula persoalan adakah manusia kini benar-benar layak dianggap bertamadun?  Apakah kita semua benar-benar memahami pengertian sebenar ‘tamadun’?
            Pada suatu ketika dahulu, akhbar dan radio menjadi medium penyampai yang utama di segenap negara sehinggalah kehadiran televisyen sebagai media elektronik baru yang mampu menyampai dan meyiarkan berita secara tayangan bergerak.  Walaupun begitu, kerajaan telah mengeluarkan beberapa sekatan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya sebarang unsur yang negatif seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang merangkumi pelbagai akta lain seperti Akta Hasutan 1969, Akta Fitnah 1957, Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya.
            Selepas terbaca tulisan dari Dr. Rahmat Ghazali dari artikelnya yang bertajuk ‘Kesan kebiadapan Di Dunia Siber’, saya rasa terpanggil dan teruja untuk memberi sedikit komen mengenai tajuk berkenaan.  Saya mengakui bahawa memang benar orang ramai kini semakin beralih ke arah media elektronik yang dikatakan ‘baru’ itu.  Kalau begitu banyak sekatan yang dikenakan ke atas media traditional, ia tidak pula berlaku kepada media siber ini.  Begitu sukar untuk mengawal pengguna siber masa kini kerana orang ramai kini kebanyakannya mempunyai kemudahan internet dan komputer di kediaman masing-masing.
            Kalau dahulu, untuk menjadi seorang wartawan seseorang itu perlu menyambung pelajaran di dalam bidang berkenaan sehinggalah layak untuk mendapat lesen dan mengeluarkan artikel dan berita atau sebarang rencana.  Keadaan ini tidak pula sama dengan kewartawanan siber yang boleh mengeluarkan artikel oleh sesiapa sahaja termasuklah bebas memberi komen, mengeluarkan berita yang kesahihannya tidak dapat dikenalpasti.  Kerisauan ini semakin menjadi-jadi kerana dilihat lebih banyak negatifnya berbanding kebaikan kerana artikel-artikel yang berkaitan banyak menyentuh sensitiviti perkauman dan hak asasi manusia. 
            Saya amat bersetuju dengan Dr. Rahmat bahawa dalam kebebasan mereka berkarya, orang ramai lupa bahawa pengguna internet juga tidak terlepas daripada Akta Fitnah, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.  Mereka tetap mengeluarkan rencana-rencana berunsur negatif mengandungi kata-kata kesat, cacian, sumpahan dan kadang-kala menjadi hasutan kerana pembaca akan terpengaruh semata-mata mempunyai matlamat yang sama iaitu marah atau dendam dengan sesetengah pihak.  Yang paling ditakuti ialah tulisan-tulisan ini mampu mendatangkan kemarahan kalau ia berbentuk perkauman, akan berjayakah gagasan 1 Malaysia jika ia berlaku?  Memanglah amat memalukan apabila membaca artikel-artikel itu kerana bahasa yang digunakan tidak menampakkan ciri-ciri orang yang bertamadun.
            Mungkin juga kelayakan wartawan siber ini tidak ditapis, tidak selayak mereka yang diberi lesen untuk menyampaikan sesuatu berita kerana golongan ini mempelajari etika-etika kewartawanan yang betul, barulah tidak membuat huru-hara di dalam media.  Masih ada cara yang betul jika kita ingin mengekspreskan kemarahan terhadap sesuatu perkara contohnya menggunakan laman-laman tertentu di dada akhbar seperti yang dibenarkan dan sudah tentulah tulisan kita akan ditapis oleh editor terlebih dahulu jika ia memberi unsur yang tidak baik, bukankah ini memberi kebaikan kepada semua pihak.
            Kita harus sedar bahawa negara ini ada undang-undangya dan kita juga berada di negara demokrasi malah yang tinggal bersama kita terdiri dari pelbagai kaum.  Untuk saling menjaga keharmonian, mengapa tidak kita saling menjaga hati dan perasaan masing-masing, kita juga harus semaikan sikap toleransi dan bekerjasama.  Bukannya saling bercakaran dengan caci-maki padahal tidak pun menyelesaikan masalah malah mengeruhkan lagi keadaan.
            Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengubah pandangan masing-masing supaya lebih positif, tidak bersangka buruk dan yang paling penting sikap saling menghormati dan janganlah mudah cepat melatah.  Berfikirlah dahulu sebelum membuat sebarang tindakan kerana takut-takut membawa bencana.  Bak kata pepatah, ‘Kerana mulut badan binasa’.  Tidaklah salah jika kita mengamati pandangan dan nasihat dari orang terdahulu.